29 October 2008

KTMB - Sistem Q Komuter

Hari ni aku dapat informasi terbaru dari KTMB , hai bilalah Stesyen Seremban boleh buat macam ni. Berita daripada KTMB seperti berikut :-

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2008 – KTM Berhad hari ini memperkenalkan Sistem-Q KTM Komuter di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini bertujuan menangani masalah kesesakan ketika penumpang naik dan turun dari tren.

Dalam satu taklimat media yang disampaikan oleh Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTM Berhad En. Mohd Zain Mat Taha, KTM Berhad memaklumkan bahawa sistem ini bakal diperkenalkan ke stesen-stesen utama lain tidak lama lagi.

Turut serta dalam taklimat tersebut adalah Pengarah Urusan KTM Berhad, En. Abd Radzak Abd Malek.



Selain untuk mengatasi masalah kesesakan dan melancarkan operasi tren, sistem ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko kes seluk saku dan gangguan seksual di kalangan penumpang KTM Komuter.

Sistem-Q ini telah dimulakan sebagai percubaan pada 14 Oktober 2008, dan dipraktikkan sepenuhnya bermula 17 Oktober 2008.

Tiga kod warna berbeza digunakan memandangkan KTM Berhad mempunyai tiga jenis set tren KTM Komuter yang berbeza dengan kedudukan pintu yang berlainan untuk setiap tren.

Buat permulaan ini, KTM Berhad menempatkan seramai lebih kurang 15-20 orang petugas setiap hari terutamanya pada waktu puncak petang bagi membantu mendidik para penumpang untuk mematuhi Sistem-Q ini.

KTM Berhad berharap dengan adanya Sistem-Q ini, aturan keluar-masuk tren akan menjadi lebih lancar dan tidak lagi berlaku insiden tolak-menolak dan berebut-rebut.

Orang ramai diminta memberi keutamaan kepada penumpang yang ingin turun dari tren terlebih dahulu serta mereka yang memerlukan seperti golongan orang kurang upaya, warga emas, wanita mengandung dan ibubapa yang membawa anak kecil.



Sistem ini menggunapakai pengumuman melalui sistem siaraya dan garisan berwarna di platform sebagai panduan kepada para penumpang untuk beratur menunggu ketibaan tren.

Beberapa minit sebelum tren tiba di stesen, pengumuman akan dibuat dan orang ramai akan diminta untuk beratur di garisan yang mempunyai warna yang sama dengan kod tren yang akan tiba tersebut.

Sebagai contoh, jika tren yang akan tiba mempunyai kod warna biru, maka penumpang akan dimaklumkan untuk beratur di garisan biru.

Kod warna tren ini akan dipamerkan dengan jelas di cermin hadapan tren (bersebelahan papan tanda destinasi).



Maklumat daripada KTMB di sini

Harap peraturan seperti ini dapat di kekalkan dan sentiasa di tingkatkan dari masa ke semasa.

No comments: