20 February 2009

Dato' Ahmad Perang

ANAK MELAYU PERTAMA MENGETUAI KERETAPI TANAH MELAYU

Tarikh Peristiwa: 01.10.1961

Sejarah perkhidmatan keretapi di negara ini bermula sebagai pengangkutan bijih timah. Menyedari tentang keperluan pengangkutan darat yang lebih cepat dan selesa ianya telah diperkembangkan lagi kepada perkhidmatan keretapi penumpang. Pada mulanya perkhidmatan keretapi beroperasi secara bersendirian bagi memudahkan perhubungan di negeri-negeri, kemudian dicantumkan menjadi sebuah syarikat dengan nama Federated Malay State Railway (FMSR) yang diterajui dan dikendalikan oleh orang-orang Inggeris. Sehinggalah pada hari ini 1 Oktober 1961, seorang anak tempatan telah diberikan kepercayaan oleh Inggeris dan dilantik sebagai Pengurus Umum Keretapi. Beliau ialah Dato' Ahmad perang.

Dato' Ahmad Perang telah memasuki perkhidmatan keretapi Malaya pada tahun 1957. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor. Pada tahun tersebut juga Almarhum Tunku Abdul Rahman telah meminta beliau bertugas dengan Kerajaan Persekutuan. Permintaan ini disambut baik oleh beliau dan telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA. Pada masa yang sama Dato' Ahmad Perang juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu iaitu antara tahun 1957-1959. Seterusnya telah dilantik pula sebagai Pengurus Umum Keretapi pada hari ini 1 Oktober 1961. Satu jawatan yang penting dalam organisasi itu. Beliau menggantikan Tuan E.T. William yang berpindah ke jawatan lain.

Sebelum ini pihak Inggeris tidak yakin dengan kebolehan anak tempatan terutama untuk jawatan-jawatan yang tinggi dalam sesebuah organisasi. Sikap mereka ini menunjukkan bahawa mereka tidak mahu memberi peluang dan menghalang anak tempatan dari membuktikan kebolehan mereka. Jawatan yang disandang oleh Dato' Ahmad Perang adalah yang pertama kali diserahkan kepada orang-orang Melayu selepas 77 tahun sejarah perkhidmatan keretapi di Malaya.

Pada tahun 1962, beliau telah diberikan kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu. Tugas ini terus disandang sehingga tahun 1968. Beliau kemudian bersara dari jawatan ini dan dilantik pula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya pada 1967. Beliau kemudian dianugerahkan Pingat panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran `Tan Sri'.

Kebolehan dan kecekapan Tan Sri Ahmad Perang dalam tugas-tugasnya telah memberikan keyakinan kepada Inggeris untuk melepaskan jawatan tinggi dalam perkhidmatan keretapi kepada anak tempatan. Pihak Inggeris tidak ada pilihan lain selain dari menyerahkan kuasanya satu demi satu apabila kemerdekaan mula meresapi setiap jiwa anak negeri hingga akhirnya menyerahkan kemerdekaan sepenuhnya pada 31 Ogos 1957. Selepas tarikh tersebut, mereka terpaksa mula melepaskan jawatan penting secara beransur-ansur kepada rakyat negara ini sehinggalah benar-benar bersedia menerima tugas-tugas ini serta adanya tokoh-tokoh tempatan yang berkebolehan menerimanya.

1 comment:

Ismail N said...

Saya tak pasti samada maklumat ini ada dalam silibus masa time sekolah dulu. Al-maklumlah dah dekat 2 dekad tinggalkan sekolah. Anyway, good infos. Terima kasih & harap lebih byk posting bersejarah sebegini. Lagipun, saya minat baca kisah2 sejarah ni.