04 February 2009

Sungei Ujong Railway Company Ltd.

Jalan keretapi yang pertama di Negeri Sembilan, iaitu di antara Port Dickson dengan Seremban telah siap dibina pada tahun 1891. Jalan Keretapi sepanjang kira-kira 38 km ini dibina oleh Syarikat Keretapi Sungai Ujong. Pada tahun 1908 Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membelinya daripada syarikat tersebut.

Dikenali sebagai Keretapi Sungei Ujong dan dipunyai oleh Sungei Ujong (Malay Peninsula) Railway Company Ltd., landasan sepanjang 24¾ batu ini mula dibuka kepada trafik pada 4 November 1890. Agen kepada syarikat ini adalah Messers Gilfillan Wood & Co. di Singapura. Messers Hill and Rathborne pula adalah kontraktor yang membina landasan.

Satu majlis telah diadakan pada 28 Julai 1891 apabila pihak syarikat telah mengambil alih secara rasmi landasan daripada kontraktor. Wakil agen adalah Mr. Miller, Konsultan Jurutera Mr. Swan dan TYT John Burkinshan dan G. S. Murray telah tiba dari Singapura dengan kapal laut untuk menghadiri upacara ini dan telah diberi peluang untuk menaiki keretapi khas dari Port Dickson ke Seremban, yang pada masa itu adalah sebuah bandar utama Sungei Ujong (sekarang Negeri Sembilan).

Pengurus Besar yang pertama adalah Mr Cree Maitland yang mendiami sebuah banglo kayu berhampiran dengan stesen keretapi Port Dickson. Banglo ini kemudiannya telah diubahsuai untuk dijadikan Banglo Percutian Kakitangan Keretapi bermula pada 1 November 1913. Bangunan stesen keretapi Sungei Ujong, yang dihiasi dengan corak-corak besi, masih kukuh pada hari ini sebagai stesen keretapi Port Dickson kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Keretapi Sungei Ujong telah dibeli oleh Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 28 Julai 1908, tujuh tahun selepas beroperasi sendiri.

Pengurus Besar yang terakhir adalah Mr James McClylmont yang mana namanya telah diabadikan di sebatang jalan yang menuju ke stesen keretapi Port Dickson sekarang.


1 comment:

zaidi said...

Saya berharap saudara boleh paprkan gambar stesyen keretapi Seremban bagi tahun sekitar 1940-an