05 March 2009

Johore State Railway

Pada peringkat awal, perkhidmatan keretapi dikendalikan sendiri oleh Kerajaan negeri masing-masing seperti di Perak oleh Perak State Railway dan di Selangor oleh Selangor Government Railway.

Di Negeri Johor pula pada hari ini 1 Julai 1909 Johore State Railway telah merasmikan pelancaran perkhidmatannya yang pertama di Stesen Keretapi Segamat. Perasmian ini dibuat bersempena dengan siapnya landasan sejauh 105 batu yang menghubungkan landasan dari Segamat ke Johor Bahru.

Landasan ini telah melengkapkan landasan keretapi bagi negeri Johor dari sempadan Negeri Sembilan pada akhir bulan Jun 1909 dan menyambungkan terus jalan keretapi utara - selatan.

Perkhidmatan keretapi Johor sebenarnya telah bermula dari tahun 1866 lagi apabila landasan Johor Bahru - Gunong Pulai telah dibuka pada zaman Sultan Abu Bakar dan diikuti dengan projek keretapi di Muar, tetapi kedua-dua perkhidmatan ini tidak kekal lama sehinggalah satu usaha baru dijalankan oleh Residen General, Federated Malay State, Frank Swettenham yang mengemukakan cadangan membina jalan keretapi di Johor. Beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara Kerajaan Negeri Johor dengan pihak Inggeris mengenai pembinaan jalan keretapi ini termasuklah dari segi pembiayaannya.

Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk memberikan konsesi kepada syarikat yang dipilih sendiri oleh Lembaga Penasihatnya. Sementara Kerajaan Inggeris mempunyai matlamatnya sendiri iaitu menjaga kepentingan pentadbiran mereka. Setelah beberapa rundingan yang menemui jalan buntu akhirnya pada tahun 1904 satu perjanjian telah ditandatangani antara Sultan Ibrahim dan Frank Swettenham mengenai pembinaan landasan keretapi di Johor.

Melalui perjanjian 1904 ini FMSR (atau Federated Malay State Railway) bersetuju untuk membina landasan keretapi dari sempadan Johor/Negeri Sembilan sejauh 120 batu. Satu pindaan perjanjian telah dibuat kemudiannya pada 1908 di mana FMSR telah memberikan kuasa penuh kepada Johore State Railway (JSR) untuk mengendalikan operasinya di Negeri Johor. Landasan di Negeri Johor siap sepenuhnya pada 30 Jun 1909 dan pada hari ini 1 Jun 1909 upacara pelancaran perkhidmatan pertama oleh JSR telah dirasmikan dengan penuh gilang gemilang.


No comments: