24 March 2009

Tercampak dalam gaung dari kereta api

KUALA KRAI: Seorang pelajar pengsan dua jam selepas terjatuh dari pintu koc kereta api sedang bergerak di Sungai Temal dekat Gua Musang ketika dalam perjalanan dari Wakaf Baru, Kota Bharu menuju Kuala Lipis, Pahang, Sabtu lalu.

Sebaik tersedar, dia yang berlumuran darah akibat luka dan patah kedua-dua tangan kerana terjatuh ke bawah bukit di kawasan kebun getah, menggagahkan diri mencari jalan keluar dengan merangkak ke arah bunyi deruan lori yang melalui kawasan itu.

Muhammad Khairudin Muhammad Hussain, 13, mendakwa terpaksa menjerit meminta pertolongan daripada penduduk Orang Asli yang kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa baru selesai makan mi segera bersama adik bongsunya, Nor Aishah Nadia, 7, sebelum pergi ke tandas kereta api itu untuk membasuh tangan.

Bagaimanapun, belum sempat membasuh tangan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong, Raub, Pahang, itu mendakwa terpanggil untuk menjenguk keluar dari koc kereta api itu.

Muhammad Khairudin kemudian tertolak pintu gerabak sebelum tergelincir tetapi sempat berpaut pada palang besi di luar pintu berkenaan.

Dia yang keletihan bagaimanapun terpaksa melepaskan genggaman pada palang besi pintu koc itu sambil disaksikan adiknya.

Seorang pekerja kantin koc terbabit yang ternampak Muhammad Khairudin terjatuh segera memaklumkan kepada keluarga pelajar itu.

“Saya rasa seperti ada sesuatu mengajak saya ke pintu koc, tapi tidak tahu apa yang mahu dilihat. Ketika berada di situ, saya seperti tertolak keluar,” katanya ketika ditemui di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Krai (HKK), semalam.

“Sebaik tersedar dari pengsan, saya melihat sebuah rumah panjang dan sebuah lori sedang bergerak. Dengan badan berlumuran darah, saya menggagahkan diri berjalan meminta bantuan.

“Kebetulan ada seorang penduduk Orang Asli berhampiran kebun getah terbabit lalu saya meminta bantuannya,” katanya.

Katanya, Orang Asli itu menghubungi rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah klinik di Merapoh untuk mendapatkan rawatan.

“Saya terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala, badan dan kaki sebelum dipindahkan ke Hospital Gua Musang (HGM).

“Saya kemudian dipindahkan ke HKK Ahad lalu untuk menjalani pembedahan kecil,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Che Mah Sulong, 49, berkata kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis selepas menghadiri majlis kenduri kahwin ahli keluarganya.

“Saya bersama suami, (Harun Mat Hassan, 69,) dan dua anak bertolak dari stesen kereta api Wakaf Baru kira-kira jam 5.30 pagi Sabtu.

“Ketika dalam perjalanan, Muhammad Khairudin tercampak menyebabkan saya segera meminta kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan kereta api terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu lokomotif itu memberitahu hanya boleh berhenti di stesen dan memintanya berpatah balik menaiki kereta api lain untuk mencari anaknya.

“Sejak dimasukkan ke hospital, tiga pegawai KTMB menjenguk Muhammad Khairudin dan memberikannya hamper,” katanya.

Sementara itu, Pengurus KTMB Wilayah Timur, Ibrahim Sulaiman, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa bermain pada pintu gerabak yang sedang bergerak sebelum tergelincir dan tercampak ketika melalui selekoh berhampiran tempat kejadian.

“Seorang saksi mendakwa melihat mangsa keluar bersama ibunya dari kantin. Ketika itu, mangsa tidak menuju ke tempat duduk bersama ibunya, sebaliknya pergi ke pintu gerabak.

“Pemandu lokomotif itu memberhentikan kereta api di Stesen Chegar Perah sebelum sepasukan petugas KTMB bergegas ke tempat kejadian untuk menjejaki mangsa, namun gagal,” katanya.

Menurutnya, petugas KTMB yang menerima laporan penemuan pelajar itu segera membawa mangsa ke HGM.

Dari Harian Metro

1 comment:

Itech Saerattie said...

Salah sendirik...