16 April 2009

Tranformasi Khidmat Kereta api

Jika pada awal tahun 1980-an perkhidmatan kereta api dianggap antara pengangkutan darat terpantas di negara ini. Namun kini ia adalah antara sistem pengangkutan paling perlahan berikutan pengenalan lebuh raya yang dapat memendekkan tempoh perjalanan.

Kereta api yang pernah menjadi nadi pengangkutan untuk barangan dan penumpang, kini semakin malap sinarnya apabila barangan diangkut oleh lori manakala pergerakan manusia pula dikuasai oleh sistem pengangkutan darat lain seperti kereta dan bas.

Malah landasan kereta api yang dibuka pada 1885 bagi menghubungkan Taiping ke Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang) juga telah ditutup berikutan keadaan jalan raya yang lebih baik selain penutupan lombong-lombong bijih timah di Taiping.

Seperti mana landasan pertama Taiping-Port Weld yang mula hilang sinar selepas rangkaian jalan raya ditambah baik, Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) turut mengalami nasib yang sama apabila penumpangnya mula beralih kepada perkhidmatan bas yang lebih efisien.

Walaupun mempunyai pelanggan tersendiri, seperti pelancong, namun ia tidak mencukupi dan ini terbukti apabila pengendali perkhidmatan kereta api itu terus dibelenggu dengan kerugian sejak 13 tahun lalu.

KTMB mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM116 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007 berikutan perkhidmatan yang kurang efisien.

Bagaimanapun, segala-galanya akan mula berubah pada akhir tahun ini apabila pengendali kereta api itu memperkenalkan perkhidmatan kereta api elektrik berkelajuan 140 kilometer sejam antara Kuala Lumpur dan Ipoh.

Kini perkhidmatan antara bandar menggunakan lokomotif diesel dengan kelajuan antara 90 hingga 100 kilometer sejam dan perkhidmatan ini akan dikekalkan bagi memberi pilihan kepada penumpangnya.

Menerusi pengenalan perkhidmatan baru itu, tempoh perjalanan untuk sektor tersebut akan mengambil masa selama 2 jam 15 minit berbanding memandu kereta yang memerlukan kira-kira dua jam, sekiranya tidak mengharungi kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat, dalam dunia serba moden, segalanya harus dilakukan dengan pantas dan perkhidmatan kereta api elektrik antara bandar itu sedikit sebanyak telah mengembalikan kelebihan yang dimiliki oleh KTMB suatu ketika dahulu.

Sehubungan itu, KTMB akan berada sebaris dengan perkhidmatan bas, yang dianggap sebagai perkhidmatan pilihan ketika ini. Apa yang perlu dilakukan oleh KTMB sekarang ialah memperkenalkan produk yang inovatif serta menawarkan perkhidmatan pada harga yang kompetitif dalam usaha memastikan perkhidmatannya terus relevan.

Namun segala usaha untuk mengembalikan kegemilangan perkhidmatan kereta api negara tidak bermakna sekiranya syarikat itu terus mencatatkan kerugian.

Menyedari bahawa 13 tahun bukannya satu tempoh yang singkat, Pengarah Urusan KTMB, Abd. Radzak Abd. Malek meletakkan sasaran pengendali kereta api itu mencatat keuntungan sebanyak RM1 pada tahun ini.

"Sebenarnya sasaran keuntungan RM1 hanya simbolik. Kita hendak jadikan syarikat yang mencatatkan keuntungan daripada kerugian yang dialami selama 13 tahun. Secara purata setiap tahun kita mengalami kerugian sebanyak RM00 juta.

"Sudah sampai masanya kita meningkatkan hasil setelah kerajaan melabur dengan banyaknya dalam syarikat ini," katanya.

Walaupun angka itu dilihat kecil namun ia memberi makna dan kesan yang besar sekiranya cabaran itu dapat ditunaikan.

Malah ia dilihat sebagai pembuka jalan kepada KTMB untuk terus maju ke hadapan dan berdikari pada masa depan, tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Menyedari sasaran yang dikemukakan oleh beliau masih tidak mencukupi, KTMB merancang untuk melancarkan pelan transformasi yang antara lain akan menjelaskan hala tuju pengendali perkhidmatan kereta api itu untuk tempoh empat tahun.

Pelan tersebut mengandungi tiga teras utama yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa mulai tahun 2009 hingga 2012.

Fasa pertama bagi tempoh sepanjang tahun ini ditumpukan kepada perniagaan yang menguntungkan.

Fasa kedua pelan selama dua tahun pula akan melibatkan penjenamaan semula dan memperkasa modal insan, operasi dan penyelenggaraan.

Fasa ketiga akan menyaksikan penerapan nilai murni dalam organisasi dan meraih sokongan pemegang saham yang berkepentingan pada sepanjang tahun 2012.

Seperti Malaysian Airline System Bhd. (MAS), masalah KTMB tidak banyak bezanya.

Kedua-dua syarikat pengangkutan negara mengalami kerugian akibat operasi dan perkhidmatan yang tidak efisien selain penetapan harga produk atau perkhidmatan yang tidak tepat.

Kini apa yang membezakan MAS dengan KTMB ialah syarikat penerbangan kebangsaan itu telah pulih setelah melancarkan pelan pemulihan perniagaannya beberapa tahun lalu yang lengkap dengan hala tuju dan sasaran keuntungan.

Sejurus selepas pelancaran pelan pemulihan perniagaan, MAS mengambil inisiatif dengan meningkatkan produktiviti pekerja selain mengurangkan kos operasi yang terus dilakukan sehingga hari ini dan langkah sama dijangka dilakukan oleh pengendali kereta api itu dalam usaha mencapai sasaran RM1 pada tahun ini.

Abd. Radzak sebenarnya menghadapi masalah yang sama dengan Pengarah Urusan MAS, Datuk Seri Idris Jala di awal pembabitannya dengan syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Seperti Idris, Abd. Radzak juga mengambil satu risiko sekiranya beliau memperkenalkan pelan transformasi kepada umum.

Namun cara itu adalah lebih baik daripada melakukan secara senyap yang boleh menyebabkan umum tertanya-tanya tentang hala tuju syarikat milik kerajaan yang telah mengalami kerugian sejak sekian lama.

Persoalannya mampukah Abd. Radzak memulihkan KTMB?

Jika MAS boleh keluar daripada masalah kewangan dan terus bersaing dalam industri yang diceburinya, mengapa tidak KTMB.

1 comment:

Pendeko Laut said...

Tunggu harga tiket tambang bas dan teksi jadik mahal cam katebang, gerenti ramai naik teren tak kira sama ada slow atau idak, delay atau idak. Time tu la keretapi bermaharajalela...