25 February 2009

KTMB Crane

Kren semasa era F.M.S.R.


Ransomes and Rapier D955-6 tahun 1929 (kiri )
R&R D955-6, dibeli oleh Crown Agents untuk kegunaan Federated Malay States Railway.
Berkapasiti 35 tan.

Cowans Sheldon 9188 tahun 1950 ( kanan ).
Berkapasiti 40 dibeli pada tahun 1949,

Gottwald Crane

Gambar di atas sumbangan daripada saudara Kelvin Khew

Gambar ihsan daripada KTMRFC

Pada 4 Oktober 2004, di Pelabuhan Klang Barat, KTMB telah menerima 2 unit kren aral . Kren yang diimport dari Jerman-Dusseldoff ini mempunyai kemampuan mengangkat beban sebanyak 110 tan. Beberapa sesi ujian mekanikal telah dijalankan. Ia ditempatkan di lokasi yang strategik iaitu Gemas dan Falim, Ipoh.

23 February 2009

KTM - Armoured Wickham Trolley

Semasa zaman Darurat Pertama, KTM menjadi antara sasaran yang dipilih oleh pengganas komunis dalam usaha mereka untuk menimbulkan keadaan huru-hara di Tanah Melayu. Pada keseluruhannya, akibat perbuatan pengganas komunis, KTM mengalami
  • 197 kejadian kegelinciran
  • 171 kali ditembak
  • 18 buah stesyen musnah
  • 580 alat telekomunikasi dan semboyan rosak
  • 441 kejadian sabotaj landasan dan jambatan,
  • 78 buah lokomotif musnah
  • 36 penumpang terbunuh dan 161 cedera.
Berikutan dengan pengisytiharan Darurat pada tahun 1948, KTM telah dilengkapkan dengan Tren Berperisai (Armoured Train) sebagai langkah keselamatan dari ancaman keganasan komunis. Namun KTM yang menggunakan Permanent Way Jeeps yang dinaiki oleh anggota polis bersenjata, sebagai pilot keselamatan, terus dijadikan sasaran serangan oleh penganas komunis.


Selepas itu, KTM mengubahsuai lokomotif dengan pelindung keselamatan sebagai Loko Pilot, namun komunis terus mengganas. Pada 1 Feb 1949, Loko Pilot No 564.32 dan lokomotif No 264.12 yang menarik teren mel malam Kuala Lumpur-Penang, tergelincir antara Banir dan Temuh akibat di sabotaj oleh komunis.

Sebuah AWT atau Armoured Wickham Trolley


Pada tahun 1952, KTM telah menempah 42 buah Armoured Wickham Trolley (AWT) untuk digunakan oleh Pasukan Polis Persekutuan dan AMD sebagai Pilot Tren dan peronda landasan. AWT ditempatkan di stesen tertentu untuk rondaan dan berupaya memberi bantuan tembakan semasa tren diancam komunis. AWT mempunyai dua pemandu di hadapan dan di belakang, satu ‘cupola’ untuk mesin gun di atas yang boleh berpusing dan enam lubang tinjau serta slit senjata untuk penembak menjadikannya digeruni oleh penganas komunis.


Pasukan Polis Persekutuan menggunakan AWT untuk meronda landasan kawasan pantai barat, sementara AMD meronda landasan dalam kawasan pantai timur. Batalion 5 AMD yang bertempat di Mentakab, menggunakan AWT untuk meronda landasan dari Stesyen Kemayan hingga Merapuh, dan 3 AMD yang bertempat di Gua Musang, meronda dari Merapuh ke Wakaf Bahru.

Serangan pengganas komunis kemudiannya menjadi reda sehinggalah akhir Darurat Pertama.


Sebuah AWT, lokomotive wap dan satu gerabak penumpang yang diletak atas landasan, terdapat di hadapan Muzium Tentera Darat dalam kawasan Pusat Latihan Rekrut (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan.


22 February 2009

F.M.S.R Ipoh - Tronoh Railway Line

  • Landasan dibuka pada : 15th October 1908
  • Pembukaan rasmi : -
  • Pembiayaan : -
  • Status : sudah dibongkah dari Falim ke Tronoh
  • Panjang landasan : 24.1 Km
Stesen / Perhentian (Halt):

PUMPUN 1.6 Km - FALIM 3.2 Km - MENGLEMBU 6.4 Km - LAHAT TOWN 8.0 Km - PAPAN 12.9 Km - PUSING 14.5 Km - SIPUTEH 19.3 Km - TERONOH 24.1 Km

Stesen Pusing

Pada awal 1900an, Tronoh menjadi pusat perlombongan bijih timah utama.Tujuan utama landasan ini dibina keretapi adalah untuk membawa bijih timah yang telah dilombong ke Ipoh.Landasan telah siap dibina pada tahun 1909.Tetapi pada masa perang dunia ke-2 tentera Jepun telah memusnahkannya untuk pembinaan landasan keretapi maut.Sejak dari itu sedikit demi sedikit kepentingan pekan Tronoh semakin merosot seiring dengan merosotnya industri perlombongan bijih timah.

20 February 2009

Dato' Ahmad Perang

ANAK MELAYU PERTAMA MENGETUAI KERETAPI TANAH MELAYU

Tarikh Peristiwa: 01.10.1961

Sejarah perkhidmatan keretapi di negara ini bermula sebagai pengangkutan bijih timah. Menyedari tentang keperluan pengangkutan darat yang lebih cepat dan selesa ianya telah diperkembangkan lagi kepada perkhidmatan keretapi penumpang. Pada mulanya perkhidmatan keretapi beroperasi secara bersendirian bagi memudahkan perhubungan di negeri-negeri, kemudian dicantumkan menjadi sebuah syarikat dengan nama Federated Malay State Railway (FMSR) yang diterajui dan dikendalikan oleh orang-orang Inggeris. Sehinggalah pada hari ini 1 Oktober 1961, seorang anak tempatan telah diberikan kepercayaan oleh Inggeris dan dilantik sebagai Pengurus Umum Keretapi. Beliau ialah Dato' Ahmad perang.

Dato' Ahmad Perang telah memasuki perkhidmatan keretapi Malaya pada tahun 1957. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor. Pada tahun tersebut juga Almarhum Tunku Abdul Rahman telah meminta beliau bertugas dengan Kerajaan Persekutuan. Permintaan ini disambut baik oleh beliau dan telah dilantik sebagai Pengerusi RIDA. Pada masa yang sama Dato' Ahmad Perang juga dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu iaitu antara tahun 1957-1959. Seterusnya telah dilantik pula sebagai Pengurus Umum Keretapi pada hari ini 1 Oktober 1961. Satu jawatan yang penting dalam organisasi itu. Beliau menggantikan Tuan E.T. William yang berpindah ke jawatan lain.

Sebelum ini pihak Inggeris tidak yakin dengan kebolehan anak tempatan terutama untuk jawatan-jawatan yang tinggi dalam sesebuah organisasi. Sikap mereka ini menunjukkan bahawa mereka tidak mahu memberi peluang dan menghalang anak tempatan dari membuktikan kebolehan mereka. Jawatan yang disandang oleh Dato' Ahmad Perang adalah yang pertama kali diserahkan kepada orang-orang Melayu selepas 77 tahun sejarah perkhidmatan keretapi di Malaya.

Pada tahun 1962, beliau telah diberikan kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu. Tugas ini terus disandang sehingga tahun 1968. Beliau kemudian bersara dari jawatan ini dan dilantik pula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya pada 1967. Beliau kemudian dianugerahkan Pingat panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran `Tan Sri'.

Kebolehan dan kecekapan Tan Sri Ahmad Perang dalam tugas-tugasnya telah memberikan keyakinan kepada Inggeris untuk melepaskan jawatan tinggi dalam perkhidmatan keretapi kepada anak tempatan. Pihak Inggeris tidak ada pilihan lain selain dari menyerahkan kuasanya satu demi satu apabila kemerdekaan mula meresapi setiap jiwa anak negeri hingga akhirnya menyerahkan kemerdekaan sepenuhnya pada 31 Ogos 1957. Selepas tarikh tersebut, mereka terpaksa mula melepaskan jawatan penting secara beransur-ansur kepada rakyat negara ini sehinggalah benar-benar bersedia menerima tugas-tugas ini serta adanya tokoh-tokoh tempatan yang berkebolehan menerimanya.

19 February 2009

Gajah Serang Keretapi

Gajah Serang Keretapi - Pada tahun 1894 (Tapah Road-Teluk Intan, formerly Teluk Anson)

Tiga gerabak tergelincir selepas dirempuh gajah jantan yang naik minyak

ZAMAN sebelum dan selepas merdeka, ketenteraman negara sering diganggu, termasuk ancaman pengganas komunis yang menuntut hak untuk memerintah negara melalui kekerasan dan kekejaman.

Mereka melakukan pelbagai ancaman seperti memusnahkan harta benda, kemudahan awam, perhubungan seperti jalan raya, jambatan serta laluan kereta api. Semuanya bertujuan menakutkan rakyat serta melumpuhkan kekuatan pasukan keselamatan.

Namun, di sebalik kejadian itu, sistem perkhidmatan kereta api yang kini dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pernah beberapa kali melalui ‘serangan luar jangkaan’ yang mengakibatkan kematian dan kerosakan.

Serangan luar jangkaan itu ialah daripada sekumpulan gajah yang naik minyak dan mengamuk dengan menyerang kenderaan yang meluncur laju di landasan, semata-mata mahu membalas dendam termasuk kejadian yang berlaku kira-kira 115 tahun dulu.

Photobucket

Kejadian itu kekal dalam lipatan sejarah KTMB hingga sekarang dan juga sejarah negara amnya membabitkan perjalanan kereta api penumpang dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Lumpur.

Serangan itu berlaku pada 1894, apabila kereta api wap membawa tiga gerabak penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.

Sebaik tiba di Teluk Anson (kini Teluk Intan), kereta api yang dipandu seorang warga Inggeris itu diserang seekor gajah jantan yang sememangnya menunggu di situ bersama kumpulan sekawan gajah lain lalu merempuhnya secara berdepan.

Photobucket

Mengikut penduduk kampung, dua pekerja kereta api warga India yang berada di dalamnya meninggal dunia, mungkin akibat kecederaan ketika kereta api terbalik akibat rempuhan itu, beberapa gerabak terkeluar dari landasan. Gajah jantan itu memang besar, lebih tinggi daripada gerabak kereta api. Mengikut cerita lisan, gajah jantan itu mengamuk sebab sebelum kejadian itu, anaknya mati dirempuh kereta api di kawasan sama.

Gajah memang dikenali antara binatang yang memang pantang atau terlalu sensitif melihat lampu pada waktu malam. Secara kebetulan, kejadian itu juga berlaku pada waktu senja, antara jam 5 hingga 7 petang dan tempat kejadian juga memang gelap kerana terletak di kawasan hutan.

Photobucket

Ketika kejadian, kereta api berkuasa wap itu memang dipandu laju antara 40 hingga 50 batu sejam (kilometer) dan ia dianggap laju bagi keupayaan enjin kelas wap.

Akibat rempuhan kuat secara berdepan, gajah jantan itu mati di tempat kejadian. Tengkorak kepala gajah disimpan di Muzium Taiping, Perak dan tulang pahanya masih disimpan muzium KTMB manakala gadingnya difahamkan dibawa pulang ke England.

Tulang paha gajah jantan setinggi kira-kira hampir semeter itu masih disimpan elok dan dipamerkan di ruang legar mini muzium KTMB di ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur.Pengunjung boleh melihat sendiri tulang itu serta mendapat maklumat ringkas mengenai kejadian. Di situ juga terdapat gambar seorang saudagar Inggeris berdiri di atas bangkai gajah di tempat kejadian.

Namun ketika ini, masih juga berlaku kejadian kereta api merempuh gajah melintas landasan terutama di laluan ke Pantai Timur dan terbaru berlaku berhampiran Kuantan, Pahang. Seekor gajah yang dirempuh pada 27 Mei 2007 kira-kira jam 4.50 pagi lalu lumpuh selama dua hari sebelum mati.

07 February 2009

Pembelian Keretapi Kerajaan Singapura

Semenjak tahun 1869 sememangnya terdapat minat peribadi terhadap pembangunan keretapi di Singapura dan kerajaan kolonial juga berminat untuk menyokong mana-mana syarikat persendirian yang akan melabur dalam pembangunan keretapi. W.J. Du Port, seorang Jurutera di Syarikat Limbungan Tanjung Pagar menyediakan rancangan untuk pembinaan keretapi dari New Harbour ke bandar, yang akan dibiayai oleh Singapura dan New Harbour Railway Co. dengan modal $200,00.

Berikutan dengan kemerosotan dagangan, projek ini tidak dapat diteruskan. Namun demikian pada tahun 1871, Tanjung Pagar Railway Co. dan Singapore Harbour New Co. mencuba sekali lagi tetapi tidak berjaya kerana Setiausaha Kerajaan Jajahan memilih laluan yang lebih panjang. Pada tahun 1874, Sir Andrew Clarke mengumumkan sokongannya kepada mana-mana syarikat persendirian tetapi tidak mendapat sambutan.

Bukit Panjang Station

Setelah sekian lama keretapi Port Weld - Taiping dibuka akhirnya pada tahun 1896, Sir Cecil Clementi - Smith mengambil tindakan dimana $1,000,000 telah diluluskan pada tahun 1899 untuk pembinaan keretapi dari Tank Road ke Kranji dan Mr. C. C. Spooner telah dilantik sebagai penasihat mengenai hal ehwal keretapi. Kerja-kerja bermula pada awal tahu 1900. Keretapi ini bermula sebagai "Keretapi Singapura dan Kranji" dan tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan projek ini.

Pada akhir tahun 1901 kerja-kerja tanah telah berjalan dengan lancar. Tiga jambatan telah disiapkan dan enam lagi dalam pembinaan dan 76 saliran telah juga disiapkan. Bahan-bahan seperti 32,576 kayu landasan, 16 1/2 batu panjang rel dan 50 set poin telah diperolehi. Hampir kesemua sisian telah dipasang di yard Stesen Singapura dan 1 3/4 batu laluan utama telah dibina termasuk penyediaan batu balas. Terdapat 592 orang bekerja dilaluan tersebut. Pagar sepanjang 7 batu juga disiapkan. Batu asas stesen Singapura dari Scotts Road juga disediakan.

Bukit Timah Station

Kerja-kerja pembinaan stesen-stesen ini dan stesen di Cluny Road, Bukit Timah dan Tanjung Panjang juga sedang disediakan. Kerja-kerja pembinaan untuk puncak feri di Woodland berjalan dengan lancar, disamping pemasangan tiang telefon sejauh lebih kurang 10 batu dan pemasangan penyangga serta insulator. Lapan koc penumpang empat-roda telah diperolehi dan sebuah koc kelas satu dalam pembinaan. Menjelang 30 November 1902, semua stesen hampir siap, dibina termasuk juga Menara di Woodlands. Stok kereta juga sedia untuk beroperasi dan kos keseluruhan berjumlah $1,562,392.

Tank Road Station

Landasan keretapi Singapura dan Kranji dibuka untuk trafik pada tahun 1903. Perkhidmatannya bermula dari Tank Road ke Bukit Timah , buat permulaannya terdapat sembilan tren setiap hari tetapi lapan tren pada hari minggu. Mulai 16 Julai bilangan tersebut di tambah kepada enam tren ke Woodland dan tiga tren ke Bukit Timah. Panjang landasan adalah 15 batu dengan perkhidmatan feri ke Johor Bharu yang dianggap jaraknya sebagai sebatu. Perlu diingat pada masa tersebut tiada keretapi di Johor dan Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu telah menyiapkan laluan pertamanya dari Prai hingga ke Seremban sahaja. Pada akhir tahun pertama seramai 35,075 penumpang menggunakan keretapi dan menghasilkan pendapatan dari pengangkutan barang-barang.


Woodland ferry train Station & jetty

Akaun kewangan keretapi Singapura dan Kranji pada akhir 31 Disember 1903 adalah sebanyak $1,802,353 dan dividen yang diperolehi ke atas akaun kewangan ini untuk tahun pertama adalah bersamaan dengan 2.27 peratus. Jumlah hasil ini diperolehi dari trafik penumpang kecuali sebahagian kecil iaitu $1,171 dari barang-barang. Perbelanjaan operasi adalah $94,801. Lebih daripada 80% pendapatan adalah dari penumpang koc kelas tiga. Pengurus Keretapi, Mr. W. Tearle, yang sebelum ini bertugas dengan Keretapi Singapura, mengkaji prestasi tahun pertama operasi, merasakan bahasa terminal (Tank Road) adalah terlalu jauh dari pusat bandar.

Dua buah lokomotif menggunakan kayu arang digunakan untuk menarik tren dan yang ketiganya untuk kerja-kerja balas manakala perkhidmatan feri beroperasi dengan dua kapal iaitu "S.S. Singapore" dan "S.S. Johore". S.S. Singapore beroperasi mulai 1 April 1903 dan S.S. Johore mulai 20 September pada tahun yang sama.

Newton Station

Stesen Tank Road merupakan terminal Singapura pada tahu 1903. Pada permulaannya terdapat empat buah stesen tetapi bertambah sebanyak lapan stesen pada penghujung tahu 1903. Empat stesen yang pertama ialah Singapura, Newton, Cluny Road, dan Bukit Timah. Pada tahun berikutnya terdapat lapan stesen dengan tambahan stesen Holland Road, Bukit Panjang, Woodlands dan Johor. Pendapatan untuk tahun 1904 meningkat kepada $195,660 iaitu pertambahan hampir $60,000.

Dari Tank Road, laluan keretapi diperluaskan ke Limbungan dan Pasir Panjang dengan 10 buah stesen kesemuanya dan dibuka kepada trafik pada 21 Januari 1907. Jumlah pendapatan meningkat kepada $203,541 menunjukkan pertambahan sebanyak $8,011 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kebanyakan daripada pendapatan tersebut ($178,069) masih datang dari kutipan tambahan penumpang yang mana Tank Road menjual paling banyak tiket manakala Johor tempat kedua dan Newton tempat ketiga. Hasil dari perkhidmatan barang-barang hanya berjumlah $15,812. Pada Ogos 1907 Pengurus, Mr. Tearle telah bercuti seterusnya bersara pada bulan November. Beliau digantikan oleh Mr. J.H. Williams yang juga menanggung tugas sebagai seorang jurutera.

Jumlah laluan pada tahun 1907 adalah 21 batu dan peruntukkan kewangannya adalah $3,510,444. Keuntungan bersih yang diperolehi untuk tahun tersebut ialah $54,805. Penerimaan kasar pada tahun 1907 adalah $203,541.

Jumlah hasil meningkat secara berterusan. Pada tahun 1909 hasil yang diperolehi ialah $233,792 iaitu pertambahan sebanyak $38,845 dan pada tahun 1910 hasil diperolehi adalah $271,940 dengan pertambahan jumlah yang hampir sama, $38,147 dan pada tahu 1911 peningkatan sebanyak $2,421 dengan pendapatan sebanyak $252,673. Laporan Tahunan 1912 Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu menyatakan "Tahun sebelumnya adalah begitu penting sekali dalam sejarah pembangunan keretapi di semenanjung. Keretapi Kerajaan Johor dan Keretapi Kerajaan Singapura yang telah dimasukkan dalam Pentadbiran Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu berkuatkuasa 1 Januari".

Kejayaan perkhidmatan keretapi memungkinkannya untuk mengurangkan kadar tambang. Tambang penumpang Kelas satu dikurangkan dari 6 sen ke 3 sen sebatu. Selain pengurangan yang besar pada kadar tambang bungkusan adalah juga pengurangan ke atas kadar kayu api. Pengenalan kadar tambang trak adalah untuk kerja pembinaan besi kepada keluli. Menjelang tahun 1907 keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu telah memperluaskan laluan dari Seremban ke Gemas dan bersambung dengan Keretapi Kerajaan Johor seterusnya bermulalah perkhidmatan tren terus. Perkhidmatan terus ke Singapura adalah menggunakan feri bagi meneruskan perjalanan ke Keretapi Singapura dan Kranji. Pengangkutan barang dibawa dengan gerabak feri yang dikendalikan bersama oleh Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu, Keretapi Kerajaan Johor dan Keretapi Singapura dan Kranji.


Laporan Tahunan keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu pada tahun 1913 menyatakan bahawa Keretapi Kerajaan Singapura sejauh 19 batu dan 41 rantai adalah dibeli dari Kerajaan Kolonial pada harga $4,136,000. Keretapi Kerajaan Melayu Bersekutu mempunyai rancangan awal untuk membina semula stesen Tank Road dan landasan berkembar ke Bukit Timah. Dengan itu berakhirlah Keretapi Kerajaan Singapura yang berkhidmat di kolonial tersebut selama 10 tahun iaitu dari tahun 1903. Stesen yang sedia ada di Tanjong Pagar adalah dibina pada tahun 1932. Ini merupakan bangunan yang mengkagumkan dengan siling yang tinggi dan luar biasa diruang menunggu yang digabungkan dengan lukisan mural yang indah menonjolkan pemandangan Malaya. Ini merupakan peninggalan yang membanggakan bagi pihak Kolonial dan warisan yang sentiasa diingati oleh Kerajaan Tanah Melayu.

Nota diambil terus dari sini.

04 February 2009

Sungei Ujong Railway Company Ltd.

Jalan keretapi yang pertama di Negeri Sembilan, iaitu di antara Port Dickson dengan Seremban telah siap dibina pada tahun 1891. Jalan Keretapi sepanjang kira-kira 38 km ini dibina oleh Syarikat Keretapi Sungai Ujong. Pada tahun 1908 Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah membelinya daripada syarikat tersebut.

Dikenali sebagai Keretapi Sungei Ujong dan dipunyai oleh Sungei Ujong (Malay Peninsula) Railway Company Ltd., landasan sepanjang 24¾ batu ini mula dibuka kepada trafik pada 4 November 1890. Agen kepada syarikat ini adalah Messers Gilfillan Wood & Co. di Singapura. Messers Hill and Rathborne pula adalah kontraktor yang membina landasan.

Satu majlis telah diadakan pada 28 Julai 1891 apabila pihak syarikat telah mengambil alih secara rasmi landasan daripada kontraktor. Wakil agen adalah Mr. Miller, Konsultan Jurutera Mr. Swan dan TYT John Burkinshan dan G. S. Murray telah tiba dari Singapura dengan kapal laut untuk menghadiri upacara ini dan telah diberi peluang untuk menaiki keretapi khas dari Port Dickson ke Seremban, yang pada masa itu adalah sebuah bandar utama Sungei Ujong (sekarang Negeri Sembilan).

Pengurus Besar yang pertama adalah Mr Cree Maitland yang mendiami sebuah banglo kayu berhampiran dengan stesen keretapi Port Dickson. Banglo ini kemudiannya telah diubahsuai untuk dijadikan Banglo Percutian Kakitangan Keretapi bermula pada 1 November 1913. Bangunan stesen keretapi Sungei Ujong, yang dihiasi dengan corak-corak besi, masih kukuh pada hari ini sebagai stesen keretapi Port Dickson kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Keretapi Sungei Ujong telah dibeli oleh Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 28 Julai 1908, tujuh tahun selepas beroperasi sendiri.

Pengurus Besar yang terakhir adalah Mr James McClylmont yang mana namanya telah diabadikan di sebatang jalan yang menuju ke stesen keretapi Port Dickson sekarang.


F.M.S.Railway - KTMB Historical Date


Visit new link

 

03 February 2009

Sejarah Bangunan Ibu Pejabat Keretapi KTMB


Bangunan Ibu Pejabat - Stesen keretapi Kuala Lumpur semasa dalam pembinaan 1910

INFO BANGUNAN
Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur
Lokasi : Jalan Sultan Hisamuddin, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
No. Lot : 36
Hakmilik Bangunan / Tanah : Keretapi Tanah Melayu Berhad / Kerajaan Persekutuan
Tahun Dibina : 1892

Bangunan Ibu Pejabat Keretapi ( Ibu Pejabat KTMB)
Lokasi : Jalan Sultan Hisamuddin, Kuala Lumpur
No. Lot : 13 & 32
Hakmilik Bangunan : Keretapi Tanah Melayu Berhad / Kerajaan Persekutuan
Tahun Dibina : 1910 - 1917

Bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu adalah merangkumi bangunan stesen, hotel dan pejabat pentadbiran baru yang terletak bersebelahan jalan adalah dua bangunan terindah dan mercu tanda Kuala Lumpur. Kedua-duanya dibina dalam zaman kemuncak ketika berlakunya pembangunan pesat dan perubahan teknologi pengangkutan keretapi di Tanah Melayu.

Bangunan ini merupakan stesen ketiga di Kuala Lumpur dan kedua di tapak sama. Ini kerana stesen terawal (dirasmikan antara 15 atau 22 September 1886) yang dikenali sebagai 'Kuala Lumpur'. Ia merupakan sebuah bangunan beratap sementara menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang (Pengkalan Batu) dengan landasan keretapi yang pertama untuk menghubungkan bandar ini dengan kawasan-kawasan lain di Semenanjung Tanah Melayu.Pembinaan bangunan dan nama stesen di Kuala Lumpur
  • 15 September 1886 - Kuala Lumpur (Terminal sementara untuk Selangor Railway)
  • 1891 - Stesen Residen, Kuala Lumpur.
  • 1892- Stesen Kuala Lumpur pertama.
  • 1 June 1893 - Stesen Sultan Street
  • 1 March 1895 - Stesen Pudoh (Pudu).
  • 1910 Stesen utama Kuala Lumpur ke arah selatan.
Lokasi stesen keretapi (pertama) berada di tapak Station Yard, lot tepi di antara (Market St dan Victory Avenue), yang kini dikenali Leboh Pasar dan Jalan Sultan Hisamuddin. Apabila landasan ke utara dibina ia dicawangkan (branched) dengan laluan Kuala Lumpur - Bukit Kuda di selatan bangunan stesen yang pertama di mana Stesen Residen pula dibina antara landasan yang baru ini.

Bangunan Stesen Kuala Lumpur gambar pada tahun 1892 , dikenali sebagai Stesen Residen dengan landasan tunggal. Digelar sebagai Stesen Residen kerana berdekatan dengan kediaman Residen British, ia dibina di seberang Kelab Diraja Selangor ke arah barat.

Asalnya, bangunan stesen mengandungi tiga platform. Berkonsep ringkas dan terbuka dengan ruang legar yang luas berbumbung selari dengan platform, ruang pejabat dan hotel terletak di tingkat mezanin dan tingkat satu. Kontrak pembinaan telah di tawarkan kepada Archie and Phillip Russell Company dalam tahun 1910.

Stesen Kuala Lumpur (Poskad bertarikh 1985) dengan dua platform.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang baru ini memulakan perkhidmatannya mulai 1 Julai 1911, manakala sebahagian Station Hotel mula di gunakan pada 11 Ogos 1911. Pada 1 November 1911, pejabat tempahan tiket yang baru di buka di platform No. 4. Kos pembinaan stesen, hotel dan beberapa bangunan tambahan kemudian, dalam tahun 1915 memakan belanja sebanyak sebanyak $1,000,669.

Stesen Kuala Lumpur (tanpa Ibu Pejabat) sekitar 1890 dengan 3 platform.

Stesen Kuala Lumpur (tanpa Ibu Pejabat) sekitar 1914 dengan 4 platform.

"The Railway Gazette", 11 November 1929. Gambar di dalam Stesen Kuala Lumpur dengan tajuk "Typical scene on No.4 platform, Kuala Lumpur Station, Federated Malay States Railway".

Bangunan Ibu Pejabat keretapi Kuala Lumpur awal 1920an

Bangunan Ibu Pejabat keretapi Kuala Lumpur dan stesen 1937

Bangunan Ibu Pejabat keretapi Kuala Lumpur awal 1960an (kiri)


Peta awal 1895 menunjukkan lokasi Stesen Kuala Lumpur yang kedua - Sultan Street Station.

Stesen Jalan Sultan (bahasa Inggeris Sultan Street Station) pula dibuka pada 1 Jun 1893 di Foch Avenue (kini Jalan Tun Tan Cheng Lock), berhampiran dengan tapak Menara Maybank Hentian Puduraya pada masa kini. Rekaannya adalah berdasarkan Stesen Residen, dan terletak pada laluan keretapi Pudu, sebatang landasan baru yang dicawang dari stesen 1910 itu, menghubungkan lombong-lombong di Ampang ke bandar raya ini. Laluan ini unik kerana bahagian awal landasan mengampiri stesen terletak di antara dua jalan Foch Avenue, memotong di sebelah kanan bandar ini.

Pemandangan Stesen Sultan Street awal 1950an

Stesen Residen dirobohkan selepas pembinaan stesen Kuala Lumpur yang baru siap. Stesen Jalan Sultan pula digantikan oleh suatu yang lebih kecil apabila landasan di Foch Avenue dibuka untuk laluan lalu lintas, dan dirobohkan selepas 1960. Sebahagian laluannya digunakan semula oleh LRT Ampang.

Bangunan yang terletak di sudut tepi (Venning Road dan Victory Avenue) kemudian Jalan Perdana dan Jalan Sultan Hisamuddin di lot 13, 14 dan 23 ini pada asalnya dibina sebagai Ibu Pejabat Baru Pentadbiran Keretapi F. M. S Railway Administration Headquarters di bawah perancangan C.E Spooner selaku pengarah PWD kemudian Pengurus Besar F. M. S Railway dari 1901 - 1909.

Penyediaan pelan mula dirangka dalam tahun 1913 dan tender dikeluarkan pada 14hb. Mei 1914 dengan anggaran awal sebanyak $508,000 (Dolar Negeri Selat). Pembinaan ditawarkan kepada kontraktor Ang Seng bermula dalam tahun 1914, namun tergendala disebabkan Perang Dunia Pertama (1914-1918). Akhirnya setelah siap dalam bulan November 1917, kos sebenar meningkat hingga mencapai $780,422 (Dolar Negeri Selat).

Setelah siap, senibina Bangunan Baru Pentadbiran Keretapi F.M.S.R kini dikenali sebagai Bangunan Ibu Pejabat Keretapi (KTMB) dianggap sebagai komplimen kepada Bangunan Stesen Keretapi yang terletak bertentangan jalan sekaligus menggambarkan kemuncak pembangunan sejarah Keretapi di Tanah Melayu.

Bangunan Ibupejabat KTMB termasuk di dalam SISTEM DAFTAR WARISAN kategori Tapak Warisan Kebudayaan negara

Dalam lipatan sejarah bangunan ini, ia mengalami dua kali kerosakan besar. Pertama bahagian sayap utara musnah terkena bom semasa Perang Dunia Kedua. Kemudian, pada 14 November 1968, bahagian yang sama di tingkat kedua musnah akibat kebakaran.

Sebagai salah satu di antara bangunan terindah rekaan A. B. Hubback , bangunan ini memperlihatkan perkembangan reka bentuk dan nilai estetika melalui kepelbagaian ragam hiasnya seperti penggunaan berulang gerbang besar Gothe dan kecil dengan disulam beranda di tingkat bawah, tingkat satu dan dua, serta tingkap besar dan kubah dengan tiang tegak terpintal entwined column yang terletak di empat penjuru bangunan.

Tahukah Anda ?

Gambar lakaran arkitek Stesen Keretapi Pudoh (Pudu) di Pudu, Kuala Lumpur, Malaysia. Pada mulanya stesen ini adalah di bawah kelolaan Keretapi Kerajaan Selangor (Selangor Government Railway) sebelum FMSR. Kini stesen ini digantikan oleh Stesen LRT Pudu, di mana landasan keretapi KTMB ditanggalkan dan digantikan oleh landasan LRT. Pada mulanya laluan LRT pada masa kini itu adalah di bawah Sistem Transit Aliran Ringan (STAR), kini RapidKL, dan laluan ini dinamakan semula sebagai sebagai Laluan Ampang.

Landasan Keretapi Kawasan Tengah (Central Region) Mengikut Peta 1921


  1. Stesen Kuala Lumpur - Stesen Batu Junction - Stesen Batu Caves (Perkhidmatan Komuter)
  2. Stesen Kuala Lumpur - Stesen Batu Junction - Ampang (Telah di bongkah)
  3. Stesen Kuala Lumpur - Stesen Salak South Junction - Stesen Sultan Street (Telah di bongkah)
  4. Stesen Kuala Lumpur - Port Swettenham @ Stesen Pelabuhan Kelang (Perkhidmatan Komuter dan Freight)
  5. Stesen Kuala Lumpur - Connaught Bridge Junction - Kuala Selangor (Telah di bongkah) 
  6. Stesen Kuala Lumpur - Stesen Kuang - Stesen Batang Berjuntai (Telah di bongkah)
  7. Stesen Kuala Lumpur - Bersambung dengan landasan utama ke Utara
  8. Stesen Kuala Lumpur - Bersambung dengan landasan utama ke Selatan

Kemaskini pada 2.12.2009.


Loading...