11 October 2013

Tren elektrik KL-Kuala Kangsar-KL beroperasi tahun depan



LENGGONG 9 Okt. - Perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi laluan Kuala Lumpur-Kuala Kangsar-Kuala Lumpur dijangka beroperasi mulai awal tahun depan.

Pengurus Kanan Pemasaran, KTMB Antarabandar, Mohd. Noordin Kimi berkata, pembukaan stesen terbaharu ETS itu diyakini dapat meningkatkan lagi jumlah penumpang antara lima hingga 10 peratus daripada lebih 3.3 juta pengguna sedia ada.

"Pertambahan laluan ini diharap akan membantu memperkasakan lagi sektor pelancongan di daerah Kuala Kangsar yang mempunyai pelbagai keunikan dan sejarah tersendiri.

"Selain untuk menarik pelancong, perkhidmatan ETS juga dijangka mampu menjadi mod pengangkutan utama buat penduduk tempatan yang bekerja di ibu kota, sekali gus memberi alternatif kepada mereka untuk berulang-alik ke Kuala Kangsar-Kuala Lumpur dalam tempoh kurang daripada tiga jam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam siri lawatan KTMB bersama media di Homestay Kampung Beng, Lenggong, di sini hari ini.

Lawatan selama tiga hari bermula Isnin lalu itu bertujuan mendedahkan wakil pelbagai media dengan pelancongan menggunakan kereta api di satu-satunya inap desa yang terdapat di Parlimen Lenggong, sekali gus mempromosikan perkhidmatan ETS bagi laluan Kuala Kangsar.

Dalam perkembangan sama, Noordin memberitahu, penjadualan semula perkhidmatan ETS sejak 1 Oktober lalu pada waktu puncak di sebelah petang diharap dapat membantu mempercepatkan perjalanan penumpang ke destinasi masing-masing.

Jelasnya, bermula dari pukul 4 petang hingga 9 malam, orang ramai berpeluang menikmati kemudahan ETS dalam tempoh setiap satu jam berbanding operasi normal iaitu dua jam sekali.

"KTMB sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya terutama ETS yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna apabila secara purata didapati dinaiki kira-kira 6,000 penumpang dalam sehari," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131010/dn_15/Tren-elektrik-KL-Kuala-Kangsar-KL-beroperasi--tahun-depan#ixzz2hH9pAct2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: