Projek Landasan Berkembar Elektrik dari Gemas ke Johor Bahru merupakan satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel kepada orang awam disamping menghubungkan jaringan landasan berkembar elektrik sehingga ke Johor Bahru dari Gemas. Dalam masa yang sama turut meningkatkan jaringan sektor sosial dan ekonomi ke selatan Semenanjung. Ia turut meningkatkan bilangan perkhidmatan kerana kapasiti landasan ditingkatkan serta tempoh perjalanan telah disingkatkan. Penyediaan infrastruktur landasan berkembar elektrik adalah berdasarkan parameter projek yang sediada siap seperti di antara Sektor Seremban – Gemas dan Ipoh – Padang Besar.
Objektif utama pelaksanaan projek landasan berkembar elektrik dari Gemas ke Johor Bahru adalah seperti berikut :-
- Menaiktaraf infrastruktur pengangkutan berasaskan rel untuk mencapai permintaan pengangkutan penumpang dan barang;
- Mengurangkan kesesakan jalanraya dengan memperkenalkan sistem perkhidmatan keretapi yang moden dan effisien;
- Menyingkatkan tempoh perjalanan serta meningkatkan kapasiti landasan yang turut menambahkan perkhidmatan keretapi.
Jaringan landasan berkembar di Semenanjung akan lengkap dengan pelaksanaan sektor Gemas dan Johor Bahru dan pergerakan penumpang dan kargo akan lebih mudah dan boleh dihubungkan ke negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
Landasan berkembar tersebut bermula dari Ch 563.040 (Gemas) dan berakhir di Stesen Johor Bahru di Ch 754.180 sepanjang 197 km. Hadlaju rekabentuk bagi landasan berkembar ini adalah pada 160km/j dan hadlaju operasi pada 140km/j.
Pembinaan landasan berkembar turut melibatkan Sistem Elektrifikasi 25kV, Sistem Persemboyanan dan Komunikasi serta kawalan terus dari Pusat Kawalan dan Pengurusan Tren (TCCC) di KL Sentral dan Gemas.
Dalam masa yang sama, integrasi sistem perkhidmatan KTMB dengan sistem perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan teksi turut telah dirancang dan dilaksanakan di beberapa lokasi yang telah dikenalpasti seperti Segamat dan Johor Bahru.
Projek di atas melibatkan pembinaan sebelas (11) stesen serta cadangan lokasi stesen pada masa hadapan di tiga (3) lokasi. Pelan jajaran bagi pembangunan di atas serta lokasi stesen yang terlibat boleh dirujuk.
Pembinaan landasan berkembar turut melibatkan pembinaan jambatan keretapi (RUB), jambatan sungai (BRV), jambatan jalanraya (ROB), landasan bertingkat (viaduct), jambatan pejalan kaki dan motorsikal (PMB) dan terowong (VBC).